Tuesday, April 04, 2006

Warkah buat Faiqish...

Warkah buat Faiqish 1

Faiqish,

Untuk sekian kalinya permukaan siber ini ku coret ringan. Meluahkan apa yang terbuku di hati, menyentap keluar segala yang tersemat kukuh di hati.

Faiqish,

Hidup ini sementarakan? Jadi mengapa kita mensia-siakannya? Memenuhi segenap kehidupan dengan kepura-puraan... Mengisi kehidupan dengan memuaskan hati sendiri tanpa sedari kita telah melukakan hati orang lain...

Faiqish,

Sejak dahulu, bonda kita telah mengajar kita untuk memaafkan orang lain. Ayahanda kita pula memesan berkali-kali agar kita berbaik dengan orang lain. Buat baik dibalas baik. Buat jahat sebaliknya. Dan pesanan itu telah tersimpan rapi dipoket hatiku. Sehingga kini dan mungkin sehingga nyawaku diambil Tuhan yang Esa.

Tetapi Faiqish,

Manusia masih zalim, Faiqish. Mereka mencanang hebat tentang prinsip-prinsip kemanusiaan tetapi mereka sendiri yang menconteng prinsip-prinsip itu dengan tangan-tangan mereka sendiri. Dan aku....aku juga manusia. Mungkin melanggar segala prinsip itu jua.

Faiqish,

Pernahkah dikau merasai diri tidak dihargai? Merasai kehadiranmu itu cumalah sekadar pelengkap. Merasai dirimu hanya dihargai di waktu-waktu tertentu. Dihargai diwaktu-waktu memerlukan dan ditinggalkan sewaktu tidak diperlukan. Hanya kerana kebolehan dan kemahiran yang ada padaku...aku diterima. Dipergunakan secukupnya kerana menyedari sikapku yang tidak kisah dengan segalanya?

Bukan apa...segalanya tampak pelik bin ajaib. Mengapa di saat mereka bersuka ria, meraikan sesuatu kejayaan atau kemahsyuran....aku diketepikan. Walhal kita sama-sama berkerja di bawah satu kelompok yang sama. Walhal baru semalam aku bersama-sama mereka...terpacak dibawah terik mentari bersama-sama juraian peluh yang menjadi saksi. Dan apa yang menjadi persoalan....saat mereka bergelak ketawa....saat aku patut bergelak ketawa bersama.....aku....tiada....

Malah menyedihkan.....tiada kata-kata jemputan dan tiada langsung pelawaan yang dibuat kepadaku. Ditolak bulat-bulat. Dan mereka langsung meraikannya tanpa ku. Tanpa kehadiranku...tanpa sekelumit bersalah...mereka terus meraikannya...dan meraikannya.....

Dan aku terus tersisih dan merasai tidak diperlukan hanya kerana prinsip keagamaan yang kuat di dalam diri ini. Tidak diundang hanya kerana merasai diriku ini tidak berhak berada disebalik kejayaan mereka itu!!! Menggunakan kilah yang tidak seberapa sebagai alasan tidak mahu aku menyertai??? Alasan yang kadang-kala boleh ditolak dan dibungkus jika ego masing-masing diketepikan!!! Ahh, mungkin alasan bahawa aku tinggal di dalam ***. Menyusahkan mereka... terpaksa menghantar aku pergi dan pulang di saat-saat mereka mengecapi kegembiraan? Atau mungkin kerana malu. Yaa, malu mempunyai teman yang bertudung dan tidak open minded. Tidak berhak berada di sisi mereka-mereka yang ala-ala ‘high standard’.

Dan Faiqish,

Apa yang paling pelik bin ajaib.....ialah ketika segalanya menemui noktah akhir, disaat segala kejayaan itu telah dirai, mereka seakan sedar bahawa tugas mereka masih belum selesai. Tugasan yang mereka-mereka sendiri tidak mampu untuk menghabiskan. Tugasan yang mereka rasai terlalu berat dan membebankan buat mereka.

Dan langsung dikala itu, mereka teringat akan diriku ini. Insan yang mampu mereka perdaya dan perguna. Insan yang akan menyiapkan segalanya tanpa sekelumit ungkitan. Insan yang pasti menyelamatkan mereka di saat akhir-akhirnya. Insan yang tadinya tidak diundang...malah tidak tersenarai di dalam senarai nama-nama wajib mereka.

Saat itu Faiqish,

Maka, bermulalah episod menyusun kata-kata mulia dan penuh hormat untuk memikatku. Bermulalah episod memuji dan melobiku sebelum tugasan itu diserahkan kepadaku. Ya Tuhan....mengapa aku??? Mengapa mereka berbuat begitu kepada ku??? Atas dasar apa yang mereka sandarkan itu?

Duhai Faiqish,

Jauh benar nampaknya menungku. Melihat kelakuan-kelakuan manusia yang berada disekelilingku. Merenung segala bentuk kekejaman yang sedang mereka lakukan pada hatiku ini. Segalanya memualkan, segalanya menyakitkan dan memedihkan untaian hati. Mungkin kerana sifatku yang terlalu mudah memaafkan dan melupakan ini digunakan mereka tanpa segan silu. Mempergunakanku tanpa mengetahui bahawa aku juga manusia seperti mereka. Yang punya perasaan, yang punya jiwa bergelora.

Faiqish,

Aku tidak akan mengalah. Biar aku ditindas dalam kemuliaan yang dibuat-buat oleh mereka, biar aku diperguna dalam kemuliaan yang dicipta mereka.... aku tetap aku. Padaku, Tuhan sentiasa disisiku. Aku tidak gentar. Sedikitpun tidak gentar. Kerna aku adalah aku. Aku mempunyai kemahiran dan penguasaan yang baik dalam apa yang aku pelajari dan harungi. Aku mampu membuat teman-teman kolejku ketawa. Aku mampu dihargai mereka. Aku ada apa yang mereka tiada... keimanan dan believe in God.

Duhai Faiqish,

Apa yang dikau saksikan dikala aku disisi mereka-mereka itu, bukanlah diriku yang sebenar. Aku memiliki ciri-ciri kebebasan yang nyata di saat aku bukan disisi mereka. Kekuatan, keteguhan dan ketabahan yang disuntik di dalam jiwaku saat aku menadah tangan kepada Ilahi...memberikanku seribu kecekalan.

Biarkan Faiqish,

Biarkan mereka melakukan semua itu kepadaku. Biarkan manusia-manusia yang menganggap hidup mereka yang berprinsip itu menindas dan mempergunakanku. Kerna aku tahu, selepas ini mereka pasti goyah dalam mengharungi kehidupan sebenar di luar sana. Goyah dan rapuh dalam segalanya.

Entahlah Faiqish,

Aku masih tidak pandai dalam meluahkan apa yang tersurat di hati ini kepada mu. Jelas di sini aku masih sukar dan tidak mempunyai keberanian dalam mengungkapkan apa yang ada di hati ini.

Mungkin Tuhan sahaja yang mengetahui... mengenaliku dan menjadi Sahabat paling dekat denganku. Ahh Faiqish, bukan aku mahu membelakangkanmu tetapi itulah diriku. Diriku yang sebenar...

Dan mungkin aku hanya memperbesar-besarkan perkara yang remeh ini. Memperbesarkan sesuatu yang kecil malah tidak patut dipersoal. Ya, mungkin aku tidak perlu rasa tersisih. Perlu untuk menebalkan jiwa ini. Menerima segala apa yang diperlakukan mereka kepadaku. Ku memohon sejuta kemaafan andai sekiranya ada yang terasa, merasai sesuatu atas coretan ini. Kerana aku jua manusia... mengharapkan pernghargaan, mengharapkan kehadiran ini dirasai....dan tidak lebih dari itu....

Buatmu Faiqish,

Jangan sesekali dikau kecewa denganku, jangan sesekali berputus asa denganku. Teruskan doamu padaku. Teruskan kepercayaanmu padaku. Sentiasalah berada disebalik dukaku. Disebalik resahku...penemanku saat air mata ini jatuh menyembah bumi....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home